Tuesday 27 February 2018

*URUSTADBIR RABBANI SEBAGAI DASAR KERAJAAN PERANGI RASUAH : CONTOHI KONSEP UMI KELANTAN*

*Kenyataan Media*
*Ahli Parlimen Kuala Nerus*

27 Februari 2018 | 11 Jamadilakhir 1439H

*URUSTADBIR RABBANI SEBAGAI DASAR KERAJAAN PERANGI RASUAH : CONTOHI KONSEP UMI KELANTAN*

1. Perbincangan politik hari ini tidak dapat lari daripada isu penyelewengan, rasuah dan korupsi yang sukar untuk dibendung. Ia ibarat barah yang menambah luka ketika permainan politik bukan lagi di atas dasar menguntungkan rakyat secara keseluruhan, tetapi demi kepentingan kantung pihak tertentu.

2. Di dalam riuh rendah hiruk pikuk masyarakat bercakap soal sebuah urustadbir kerajaan yang baik (good governance), kerajaan negeri Kelantan selepas memerintah selama 27 tahun bermula Oktober 1990, telah membuktikan bahawa melahirkan "Good Governance" (Urustadbir Baik) yang cemerlang dari sudut pengurusan serta jauh dari rasuah bukanlah sesuatu yang mustahil *tetapi hendaklah berasaskan _"al-Hukmu al-Rabbani"_ iaitu "Urustadbir Rabbani" yang meletakkan asas agama dan perhambaan diri kepada Tuhan sebagai dasar rujukan.*

3. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 79:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ (79)
"Tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah SWT kurniakan kepadanya Kitab, Hukum (kebijaksanaan dan pemerintahan) dan Kenabian, kemudian dia  berkata kepada orang ramai; "Jadilah kamu semua hamba-hamba kepadaku lain daripada Allah SWT", tetapi hendaklah dia berkata; "Jadilah kamu semua *Rabbaniyyin*", dengan sebab apa yang kamu ajarkan menerusi Kitab dan dengan sebab apa yang kamu pelajari".

4. Rabbani adalah orang yang dinisbahkan kepada Rabb Tuhan. Sebagaimana ditafsirkan oleh para ulamak, ia bermaksud orang yang berilmu, faqih, ahli ibadah dan ahli taqwa, yang sentiasa menyedari pengawasan Allah SWT terhadap dirinya dan yang mengikut Rabb iaitu Tuhan. Perkataan "rabbani" juga berasal dari perkataan "rabba" bermaksud mentadbir dan memperelokkan keadaan. Justeru, Rabbani menurut Qurtubi bermaksud orang yang disamping berilmu dia juga cekap dalam urustadbir.

5. Kesimpulannya Rabbani boleh ditafsirkan sebagai orang yang ada ilmu, kuat beribadah mengabdikan diri kepada Tuhan, bertaqwa dan menyedari pengawasan Allah SWT terhadap dirinya serta cekap mentadbir dengan menjadikan Rabb Tuhan sebagai ikutan dan panduan.
*Konsep Rabbani inilah yang perlu diterapkan dalam urustadbir negara.*

6. "Good Governance" yang dikeluarkan oleh World Conference on Governance pada tahun 1999 mendefinisikannya sebagai “a system that is transparent,
accountable, just, fair, democratic, participatory and responsive to people’s needs". Ia menggariskan 3 asas urustadbir yang baik iaitu accountability (kebertanggungjawaban) , transparency (ketelusan) dan
efficiency and effectiveness (kecekapan).

7. Namun, Urustadbir Rabbani lebih jauh meletakkan semua tiga asas itu bersumberkan kesedaran bahawa manusia yang melaksanakan urustadbir negara adalah:

i. Hamba kepada Tuhan yang mesti berilmu dan terikat dengan hukum hakam dan peraturan Tuhan.

ii. Dipertanggungjawabkan menerusi konsep Hisab di Hari Akhirat

iii. Dinilai oleh Allah SWT berasaskan kualiti setiap urustadbir untuk diganjari dengan Syurga.

8. Atas kesedaran "Urustadbir Rabbani" berasaskan konsep perhambaan diri kepada Tuhan, kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan prinsip UMI merujuk kepada 'Ubudiyyah (Perhambaan kepada Allah SWT), Mas'uliyyah' (Kebertanggungjawaban juga berkait dengan prinsip dosa dan pahala) dan Itqan (Kesungguhan dan Kecekapan) sebagai dasar urustadbir negeri.

9. Urustadbir berasaskan prinsip UMI menjadi tunjang penting kepada pengurusan yang cekap serta jauh daripada penyelewengan.
Hasilnya, pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kelantan telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai bebas dan bersih daripada sebarang rasuah mahupun korupsi. Ini merupakan kejayaan terbesar bagi sesebuah kerajaan yang memerintah sebuah negeri.

10. Malah, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016, Pejabat Menteri Besar dan SUK Kerajaan Negeri Kelantan memperolehi markah 99 peratus dalam laporan berhubung prestasi pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti jabatan/agensi pada 2016.

11. UMI sebagai satu konsep Urustadbir Rabbani sepatutnya menjadi rujukan kerajaan-kerajaan negeri lain termasuk kerajaan pusat sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab pemerintahan. Misi menjadi sebuah negara yang bebas dari amalan rasuah kini sebenarnya tidak lagi mustahil dan Kerajaan Negeri Kelantan telah dahulu membuktikannya.

Sekian.

_*"Sejahtera Bersama Islam"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1891583407518347&id=569086473101387

No comments:

Post a Comment