*PINDAAN USUL RUU 355 oleh YB MARANG DI DEWAN RAKYAT 24 NOVEMBER 2016*
Oleh
YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_
1. Dalam sidang Dewan Rakyat pada hari ini YB Ahli Parlimen Marang telah mengusulkan pindaan terhadap Usul RUU 355 yang telah dibentangkan sebelum ini pada sidang Dewan Rakyat yang lalu pada 26 Mei 2016.
2. Pindaan Usul dibuat bagi menjelaskan lagi maksud Usul RUU 355 lalu yang teksnya menyebut:
_"Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan *hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah* yang berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati."_
3. Pindaan Usul pada hari ini bertujuan menjelaskan lagi maksud *"hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah"* dalam Usul sebelum ini iaitu antaranya merujuk kepada sebatan syarie sehingga 100 sebatan.
4. Pindaan Usul berbunyi:
_“Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 28, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 seperti berikut:_
Pindaan seksyen 2
Akta Mahkamah Syariah (BidangKuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dipinda dalam proviso kepada Seksyen 2 dengan menggantikan perkataan *“penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali”* dengan perkataan *“penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah”*.
5. Cadangan pindaan Usul ini akan membolehkan *3 kesalahan jenayah Islam* dilaksanakan menurut *undang-undang Syariah* iaitu *sebatan syarie* di Mahkamah Syariah menurut kadar hukuman sebatan yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Hadis.
6. Tiga kesalahan jenayah itu ialah:
I) *Persetubuhan luar nikah* bagi yang belum pernah berkahwin yang hukumannya menurut *undang-undang Syariah* ialah 100 sebatan menurut tatacara jenayah Syariah.
II) *Qazaf atau membuat tuduhan melakukan zina* yang hukumannya menurut *undang-undang Syariah* ialah 80 sebatan menurut tatacara jenayah Syariah.
III) *Minum minuman memabukkan* yang hukumannya menurut *undang-undang Syariah* ialah 40 sebatan menurut tatacara jenayah Syariah sehingga 80 sebatan sebagaimana perbezaan pendapat di kalangan mazhab Islam.
7. Ketiga-tiga kesalahan jenayah di atas sekarang terikat dengan Akta 355 yang menetapkan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.
8. Ketiga-tiga kesalahan jenayah tersebut juga adalah sebahagian daripada senarai jenayah syariah menurut enakmen-enakmen negeri.
9. Berikut adalah contoh *Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995* yang menyenaraikan kesalahan jenayah berikut:
_Pemujaan salah, mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan, takfir, doktrin palsu, dakwaan palsu, mempersendakan, dll., ayat Al-Quran dan Hadith, menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam, memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat, menghina pihak berkuasa agama, pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengajar tanpa tauliah, mengingkari perintah Mahkamah, penerbitan agama yang bertentangan dengan Hukum Syara', berjudi, *minuman Yang memabukkan*, tidak menghormati Ramadhan, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak membayar zakat atau fitrah, perbuatan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, *persetubuhan luar nikah*, perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan, perbuatan tidak sopan di tempat awam, memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri, menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan, menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam, *Qazaf*, Pungutan zakat atau fitrah tanpa diberikuasa dan penyalahgunaan tanda halal.*
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/bca11b8ae3c9251148257057000ca118?OpenDocument
10. Kesalahan jenayah yang hampir sama boleh dilihat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri lain sebagaimana pautan berikut:
a) Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/d31866f9fa58ec974825708200081476?OpenDocument
b) Enakmen Jenayah Syariah 1992 negeri Perak.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/c8e52d59dd5bcce8482572ad002dc463?OpenDocument
c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 negeri Johor.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/558765627a0ec10a4825703d00269024?OpenDocument
d) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 negeri Pahang.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/State_Enact_Ori.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/b6e491ad5904795348257d3a000e79f4?OpenDocument
e) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988 negeri Kedah.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Upd.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/39c338971e630abc4825736b00077c39?OpenDocument
f) Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 negeri Perlis
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Upd.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/88d4ced7db9d4ea14825752b002fc32c?OpenDocument
g) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 negeri Pulau Pinang.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/b33aec4d2a4765ee482570d60024be96?OpenDocument
h) Enakmen Kesalahan Syariah 1991 negeri Melaka.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/f479bad5b5785c514825707d000cc065?OpenDocument
11. Untuk rekod, Akta 355 merupakan undang-undang atau Akta yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1965 bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah Syariah yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan, dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah seluruh negara ini.
12. Oleh kerana Mahkamah Syariah tidak melibatkan bukan Islam, maka RUU 355 juga tidak melibatkan bukan Islam dan hanya melibatkan orang Islam yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.
13. RUU 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah mencuri dan merompak kerana kedua-duanya adalah jenayah yang disenaraikan di bawah kuasa kerajaan Persekutuan dengan pelaksanaannnya di Mahkamah Sivil dan bukannya di Mahkamah Syariah.
14. RUU 355 juga adalah selaras dengan perlembagaan kerana Akta 355 sebelum ini yang sudah dipakai sejak 1965 seterusnya dipinda 1984 disemak pada 1988 adalah Akta yang selaras dengan perlembagaan. Cadangan pindaan kali ini hanyalah melibatkan perubahan pada kadar hukuman.
15. Malaysia sememangnya mengamalkan dua bentuk perundangan iaitu perundangan peringkat persekutuan di Mahkamah Sivil dan perundangan peringkat negeri melibatkan agama di Mahkamah Syariah. Justeru, tidak timbul persoalan bahawa RUU 355 akan mewujudkan dua sistem perundangan di negara ini.
16. Perbahasan lanjut bagi RUU 355 akan berlansung di Dewan Rakyat akan datang. Pindaan pada Usul asal RUU 355 yang dikemukakan kali ini dalam sidang hari ini akan membuka ruang untuk masyarakat khususnya ahli-ahli Parlimen untuk lebih mendalami dan memahami cadangan pindaan Akta 355 ini sebelum dibahaskan nanti.
17. Akhirnya, perlu diambil perhatian bahawa Kerajaan Persekutuan sebagai kerajaan yang berkuasa pada hari ini akan dipertanggungjawabkan untuk membawa pindaan Akta 355 ini setelah RUU Ahli Persendirian YB Marang diusul, dibahas dan diluluskan nanti di Dewan Rakyat. Hal ini kerana ia menjadi prasyarat
menurut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk sebarang Rang Undang-undang Ahli Persendirian menjadi sebahagian undang-undang bagi negara.
18. Semoga kejayaan usaha ini akan memartabatkan lagi kedudukan Mahkamah Syariah dalam negara ini.
Sekian. Terima kasih.
Khamis 24 hb November 2016