KENYATAAN MEDIA
Ahli Parlimen Kuala Nerus
21 Januari 2016 | 11 Rabi’ul Akhir 1437 H
MALAYSIA MODEL NEGARA UMAT ISLAM : HATI-HATI DENGAN 'PUJIAN' SERAMPANG DUA MATA
1. Saya tidak menafikan ada kelebihan Malaysia sebagai negara umat Islam berbanding dengan negara-negara umat Islam yang lain dan memang sepatutnya Malaysia berusaha sehingga dapat memberikan contoh kepada negara-negara umat Islam yang lain. Pujian adalah suatu kredit kepada negara kita.
2. Pun begitu, pujian oleh blok Barat seumpama yang tersiar di portal The Telegraph dan kemudiannya diangkat dan diulas oleh beberapa portal tempatan adalah dilihat sebagai serampang dua mata yang boleh
(i) menyempitkan makna kemajuan hanya terhad kepada aspek material dan
(ii) memburukkan persepsi awam terhadap Islam dan menyuburkan lagi Islamofobia.
3. Sebagai Muslim, keyakinan kita adalah kemajuan tidak hanya terhad kepada unsur kebendaan bahkan ia mesti bermula dengan pembangunan kemanusiaan. Jika sesebuah wilayah yang sarat pembangunan fizikalnya tetapi merosot tamadun insaniahnya, ia tetap tidak maju menurut perspektif Islam. Tidak seharusnya kita mengalih parameter kemajuan ini dengan mengikut telunjuk Barat. Jika demikian, kita akan gagal menjadi contoh kepada yang lain.
4. Lebih merisaukan, artikel bertajuk "Jakarta Attacks : How to Defeat Islamic Terrorism in the Far East" yang disiarkan portal tersebut secara konsisten menggunakan istilah seperti 'Islamist-inspired terrorism' adalah dilihat sebagai usaha untuk mengaitkan dan memperakukan secara diam bahawa Islam adalah pelaku dan penaja keganasan di banyak tempat dalam dunia ini.
5. Kaitan seperti itu juga adalah strategi Barat untuk meletakkan semua kumpulan Islam samada yang berjuang di atas prinsip kebenaran yang bersumberkan kepada al-Quran dan as-Sunnah atau sebaliknya di dalam satu bakul yang sama. Justeru, ia akan menjauhkan umat Islam daripada kumpulan Islam khususnya yang bergiat aktif dalam arus perdana politik sesebuah negara umat Islam untuk mengembalikan kekuatan sebenar umat Islam iaitu kekuatan kesatuan.
Sekian.
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
_____
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.