PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Tuesday, 25 August 2015

JAWATANKUASA KHAS EKONOMI : LIBATKAN PAKAR KEWANGAN & EKONOMI ISLAM

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

JAWATANKUASA KHAS EKONOMI : LIBATKAN PAKAR KEWANGAN & EKONOMI ISLAM

1.Penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi ini membuktikan Kerajaan ‘baru tersedar’ tentang bahaya kejatuhan berterusan nilai Ringgit. Itupun setelah Kerajaan ‘puas’ menafikan ia sebagai suatu ancaman terhadap negara dan menepis semua dakwaan bahawa Kerajaan melakukan banyak kesilapan dalam isu ini.

2.Soal apa juga faktornya, Kerajaan harus mengambil sikap bertanggungjawab terhadap apa juga keadaan yang berlaku ke atas ekonomi negara kerana rakyat akan turut merasai dan menanggungnya secara langsung; bukannya berterusan memberikan alasan tidak cerdik seperti ‘ia positif untuk negara’ atau ‘Kerajaan tidak patut dipersalahkan dalam hal ini’.

3.DUPP berharap sekurang-kurangnya penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi ini tidak sekadar menjadi wayang untuk mengaburi mata rakyat kononnya Kerajaan telah melakukan segalanya untuk menangani isu ini dan juga tidak menjadi sia-sia dengan rumusan penyelesaian yang berteraskan ekonomi konvensional tanpa mengambilkira prinsip Islam.

4. 3 faktor kemakmuran ekonomi sebagaimama digariskan al-Quran tidak boleh dilupakan oleh jawatankuasa ini iaitu Syukur, Iman dan Taqwa.

5. Antara makna Syukur ialah membelanjakan rezki khususnya kewangan negara berdasarkan garis pandu yang dikehendaki oleh Allah. Syukur adalah penyebab rezki bertambah dan meningkat bukannya menyusut sebagaimana firman Allah bermaksud "dan sekiranya kamu bersyukur pasti Aku tambahkan untuk kamu, dan sekiranya kamu kufur sesungguhnya azab-Ku benar-benar keras". (Surah Ibrahim ayat 7).

6. Iman dan Taqwa adalah punca kepada datangnya sumber rezki yang tidak disangka-sangka dan banyak tanpa terkira sebagaimana firman Allah bermaksud "dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa pasti Kami buka ke atas mereka keberkatan (rezki) dari langit dan bumi". (Surah al-A'raf ayat 96). Maka kepimpinan negara khususnya tidak boleh dibiarkan terpalit dengan pelbagai ketidaktelusan dan pecah amanah.

7. Kepercayaan dunia terhadap kestabilan politik negara juga penting untuk dipulihkan segera kerana ia memberi kesan terhadap matawang negara yang didagangkan sebagai komoditi.

8. Dalam masa yang sama kita menegaskan bahawa tindakan menjadikan matawang sebagai komoditi adalah antara punca kerosakan ekonomi dunia.

9.Oleh itu, DUPP menggesa Kerajaan untuk turut melibatkan pakar kewangan dan ekonomi Islam mengganggotai jawatankuasa tersebut. Penglibatan golongan ini penting bagi memastikan ekonomi dipacu selari dengan prinsip Islam serta tumbuh dengan penuh keberkatan. DUPP bersedia dan berbesar hati menawarkan tenaga mahir dalam bidang kewangan dan ekonomi Islam untuk terlibat sama mengganggotai jawatankuasa tersebut.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Selasa, 25 Ogos 2015 | 10 Zulkaedah 1436 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

Tuesday, 18 August 2015

"GULING KERAJAAN"; Siapa Yang Mulakan Komplot Menjatuhkan Kerajaan Bukan Menerusi Pilihanraya???

"GULING KERAJAAN"; Siapa Yang Mulakan Komplot Menjatuhkan Kerajaan Bukan Menerusi Pilihanraya???

Oleh :
Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

1. Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Zahid Hamidi mendakwa wujud usaha menggulingkan Kerajaan melalui suatu komplot terancang.

2. Beliau tidak mahu mendedahkan nama individu berkenaan, tetapi beliau meminta individu berkenaan menafikan jika dakwaan beliau tidak benar. Sifir beliau, “siapa makan cili, dia berasa pedas”lah. Itu cara beliau menjaga keselamatan negara dan Kerajaan.

3. Menurut beliau, Kerajaan akan digulingkan dengan cara undi tidak percaya – yang dibolehkan berlaku di Parlimen – dan usaha mendapatkan sokongan daripada ahli parlimen pembangkang secara akuan bersumpah sedang berjalan. Jika benar kaedah ini berlaku dan berjaya, ia bukannya "guling kuasa" tetapi "tukar kuasa".

4. Siapakah yang mulakan cara selain pilihanraya untuk membentuk kerajaan? Tidakkah UMNO yang melakukannya secara komplot terancang sehingga kejatuhan Perak di bawah PR pada tahun 2009? Tidakkah UMNO juga menjadi dalang kejatuhan kerajaan PAS di Terengganu pada tahun 1961 apabila membeli wakil rakyat untuk membentuk kerajaan baru???.

5. Kelmarin di Tampin, beliau mengumumkan pula bahawa individu yang mahu gulingkan Kerajaan itu akan berjumpa Perdana Menteri. Kata beliau, individu berkenaan telah sedar bahawa perbuatannya adalah salah.

6. Kalau dakwaan itu benar, tidak adakah prosedur dan peruntukan undang-undang untuk membendungnya? Kenapa tidak prosedur dan peruntukan undang-undang ini digunakan?

7. Sememangnya Dato' Seri Zahid sangat bimbang kejatuhan kerajaan BN. Cepat atau lambat yakinlah ia pasti jatuh bukan kerana komplot tetapi kerana kegagalan dan kebobrokan UMNO dan Dato' Seri Najib yang terpalit dengan begitu banyak isu integriti.

Sekian.

Selasa, 18 Ogos 2015 | 3 Zulkaedah 1436 H

Monday, 17 August 2015

KEJATUHAN RINGGIT : KENA PULIH SEMULA KESTABILAN POLITIK NEGARA

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

KEJATUHAN RINGGIT : KENA PULIH SEMULA KESTABILAN POLITIK NEGARA

1. Semalam, nilai Ringgit telah melepasi paras RM4 berbanding dolar AS sejak ia mula mengalami penyusutan nilai pada akhir tahun 2014 lepas. Ia merupakan nilai terendah dalam tempoh 17 tahun lalu; iaitu sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1998. Ada telahan ia akan menjangkau sehingga RM4.10.

2. Para peniaga yang mengimport barang keperluan harian sudah mula galak untuk menaikkan harga barang kepada para pengilang dan pengedar. Kesan berantainya tentulah sedang atau bakal dirasai oleh pengguna cepat atau lambat.

3. Penganalisis ekonomi hampir sepakat bahawa kejatuhan 38% harga minyak mentah Brent sejak Jun 2014 lalu memberikan kesan yang sangat besar kepada kejatuhan nilai Ringgit memandangkan minyak merupakan salah satu bahan eksport utama negara.

4. Pengukuhan nilai dolar AS berikutan kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika (US Federal Reserve) menaikkan kadar faedah pada September ini terus memacu permintaan terhadap dolar AS justeru memberikan tekanan kepada Ringgit. Kejatuhan matawang yuan, China, juga turut memberikan tekanan kepada Ringgit.

5. Pun begitu, isu pertikaian ke atas hutang 1MDB dan cara penyelesaiannya, isu aliran wang yang sangat besar dari luar ke akaun peribadi YAB Perdana Menteri dan skandal tuduhan rasuah dalam pembelian bangunan Dudley House, Melbourne, Australia oleh MARA Inc. yang telah menarik perhatian antarabangsa kepada Malaysia tidak dapat dinafikan telah menjatuhkan keyakinan antarabangsa terhadap Ringgit.

6. Keadaan ini bertambah rumit dengan pelbagai spekulasi dan provokasi yang wujud dalam negara sendiri khususnya akibat sikap tidak berhemah dan tidak berhikmah pihak Kerajaan menanganinya dan pihak pembangkang menjuarainya.

7. Untuk mengawal kejatuhan Ringgit, cadangan samada Bank Negara menggunakan Rizab Antarabangsanya untuk “membeli” Ringgit dalam pasaran atau membuat tambatan Ringgit sepertimana yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir sewaktu menghadapi krisis dahulu atau cadangan-cadangan lainnya bolehlah dan amat patut dikaji oleh Kerajaan dengan melibatkan ahli parlimen, ahli akademik, para mufti dan cendekiawan ekonomi Islam.

8. Nilai Ringgit juga boleh kembali kuat jika permintaan terhadap eksport terus meningkat dan pelaburan asing bertambah. Asas ekonomi mesti dipastikan kukuh berlandaskan tuntutan Islam pada aspek prinsip dan praktikalnya.

9. Namun, paling signifikan untuk berhadapan bagi menyelesaikan situasi ini buat masa ini dan untuk jangka masa panjang ialah dengan kembali memulihkan kestabilan politik dalam negara kita agar kepercayaan dan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia kembali meningkat.

10. Parti pemerintah dan pembangkang walaupun berselisih dalam banyak isu dan agenda, tidak harus bersikap keterlaluan apabila berkait dengan perkara yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat. Tidak cukup dengan bacaan untuk menyelamatkan survival politik masing-masing sebagai asas bertindak, bacaan terhadap geopolitik antarabangsa juga harus dibuat pertimbangan bagi memastikan negara kita terus berdaulat.

11. Mungkin sudah tiba masanya cadangan penyelesaian melibatkan semua parti sama ada pemerintah dan pembangkang diwacanakan secara tulus dan disusuli dengan komitmen daripada semua pihak untuk menyediakan mekanisme ke arah merealisasikannya agar politik di negara kita lebih bermaruah dan berkesan.

12. Rakyat sudah semakin muak dengan kemelut politik dan krisis ekonomi berpanjangan tanpa sebarang penyelesaian sedang mereka mengeluh akibat kenaikan harga barang, cukai GST yang menjadikan pendapatan mereka susut nilai dan peluang pekerjaan yang disaingi oleh hampir 2 juta warga asing.

Sekian.

"Beristiqamah Sehingga Kemenangan"

#ke arah Malaysia Baru

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Jumaat, 14 Ogos 2015 | 29 Syawal 1436 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

Cadangan Kg. Seberang Takir dan Kg Pulau Duyong sebagai Kawasan Industri Petroleum; Tahniah YAB MB Terengganu !!!

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Cadangan Kg. Seberang Takir dan Kg Pulau Duyong sebagai Kawasan Industri Petroleum; Tahniah YAB MB Terengganu !!!

Saya sangat yakin seluruh rakyat di Dun Seberang Takir dan Dun Bukit Tunggal tentu terkejut dengan pengumuman hasrat kerajaan Terengganu untuk menjadikan Kg. Pulau Duyong dan Kg. Seberang Takir sebagai kawasan industri berasaskan petroleum dan gas.

Saya sangat mengalu-alukan cadangan tersebut untuk dilaksanakan sesegeranya kerana ia akan menyegerakan kejatuhan Dun Seberang Takir ke tangan PAS. Sekian lama UMNO mewakili DUN Seberang Takir termasuklah ketika tsunami politik 1999 apabila PAS memerintah Terengganu, namun UMNO kekal kebal di Dun Seberang Takir.

Antara puncanya ialah undi pos di Kem Tentera dan Kem Pasukan Gerak Am. Undi rakyat kampung sebahagian besarnya sudah hampir bersama PAS. Termasuklah juga pada PRU ke 13. Insyallah dengan cadangan "bijaksana" YAB MB Terengganu yang merupakan Adun Seberang Takir dan anak jati Kg. Seberang Takir, PAS insyallah bakal memecahkan tradisi untuk memenangi DUN Seberang Takir pada pilihanraya akan datang.

Apakah tujuan sesebuah pembangunan dilakukan di sesebuah kawasan? Tentulah untuk kebaikan rakyat yang mendiami kawasan tersebut. Namun, apabila projek industri petroleum dilaksanakan tentulah pengambilan tanah rakyat orang kampung yang beratus ekar akan diambil secara paksa menggunakan Akta Tanah Negara.

Kg. Seberang Takir  yang tidaklah seluas mana bermula dari tanjung dan muara Sg Terengganu di seberang bandar Kuala Terengganu sehingga ke Kem Tentera dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan kehilangan sebahagian besar penduduknya. Penduduk Kg Seberang Takir termasuklah tanah kelahiran dan tempat membesar MB Terengganu Dato' Seri Ahmad Razif akan dihijrahkan. Kg. Seberang Takir akan menjadi sejarah seperti mana Kg. Pantai Kundur dan Tanah Merah di Melaka.

Begitu juga Kg. Pulau Duyong yang mempunyai sejarah tersendiri melibatkan tokoh ulamak bersejarah Tok Syeikh Pulau Duyong yang juga merupakan kampung asal keluarga YAB Dato' Seri Ahmad Razif turut akan terus menjadi tinggalan sejarah sekiranya projek industri tersebut dilaksanakan.

Adakah Dato' Seri Ahmad Razif dengan idea "bijaksana" ini cuba menyaingi sejarah jasa bekas MB Terengganu yang juga dari Seberang Takir iaitu Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri bin Mohammad (TSIF) yang menjadi MB selama 9 tahun dari 1961 hingga 1970? TSIF telah membangunkan Seberang Takir dengan Sekolah Menengah Ibrahim Fikri pada 1965 dan membuka penempatan baru di Seberang Takir. Manakala jasa YAB Dato' Seri Ahmad Razif yang merupakan anak jati kelahiran Kg. Baru, Seberang Takir sebagai MB ialah menghapuskan kewujudan penduduk Kg. Seberang Takir. Tahniah Dato' Seri!!!.

Adakah Terengganu kekurangan hasil dan pembangunan sehingga projek ini perlu dilontarkan sebagai idea? Tidak cukupkah hasil royalti yang dijenamakan sebagai Wang Ehsan dan kemudiannya Dana Khas yang bernilai lebih dan kurang 2 ribu juta (2 bilion) setiap tahun untuk tujuan pembangunan rakyat Terengganu yang tidak sampai pun 2 juta orang?

Adakah pemimpin Terengganu kekeringan idea untuk mewujudkan industri yang boleh memberi pekerjaan kepada rakyat tanpa perlu melibatkan pengambilan tanah orang kampung dan juga pencemaran alam???

Maaf YAB Dato' Seri. Sebagai anak jati Kg. Seberang Takir sebagaimana Dato' Seri, saya terpaksa menegur dan membantah cadangan ini.

YAB masih berpeluang membuat jasa kepada orang kampung dengan memperluaskan lagi industri perikanan seperti keropok, ikan kering dan belacan di samping usaha meningkatkan lagi hasil tangkapan nelayan yang menjadi sebahagian pekerjaan tradisi orang kampung Seberang Takir.

Pantai Seberang Takir yang indah masih terbuka untuk dibangunkan menjadi aset pelancongan yang memberi peluang pekerjaan kepada orang kampung. Peluang perniagaan makanan tradisi sepanjang pantai seperti ikan, udang dan sotong dicelop tepung serta keropok goreng boleh dikembangkan.

Tanjung yang luas oleh tambakan laut boleh dibangunkan dengan perbandaran baru yang boleh memberi peluang keusahawanan kepada anak-anak muda.

Jeti nelayan beserta bot penambang boleh dijadikan aset pelancongan yang menguntungkan rakyat. Sg Terengganu yang luas dan panjang boleh dimanfaatkan untuk pelabuhan kapal-kapal besar seperti di Athen, Greece. Atau dimanfaatkan dengan feri pelancongan sebagaimana kelihatan di bandar-bandar besar dunia seperti London, Paris, Amsterdam, Istanbul, Guang Zhou dan Sdyney.

YAB buatlah sesuatu yang membanggakan orang kampung Seberang Takir apabila bermenteri besarkan seorang anak jati kampung! Saya akan menyokong setiap yang baik tetapi tidak untuk yang sebaliknya.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 15hb Ogos 2015

Nostalgia Pengajian Kitab di Bumi Urdun

Ketika transit di di Amman, Jordan 8 jam hari khamis 13hb Ogos 2015 lalu saya mengambil kesempatan ke bandar Amman (balad) dan kemudiannya ke Suweileh. Banyak nostalgia pengajian di luar univ ketika di Univ of Jordan 1992-1996.

Pengalaman belajar kitab fiqh Matan Abi Syuja' seorang diri dengan Syeikh Mustapha di Jabal Amman pada selasa petang selepas selesai kuliah rasmi di univ of jordan. Beliau salah seorang khatib terkenal bumi Syam yang terpaksa lari berlindung ke Jordan.

Membaca kitab Kifayatul Akhyar syarah Matan Abi Syuja' dengan Syeikh Dr Muhammad anak Syeikh Sa'iid Hawa yang sedang membuat Phd pada ketika itu.

Pengalaman membaca beberapa bab dalam kitab Nihaayatul Muhtaj berseorangan dengan Syeikh Abu Hurairah.

Sempat juga menghadiri kuliah Syeikh Hasan Thaqqaf di Amman.

Juga peluang mengikuti kelas 4-6 subjek di Fakulti Syariah secara konsistant setiap hari termasuk subjek pelajar Master seolah saya juga pelajar berdaftar rasmi sedangkan saya adalah pelajar jabatan bahasa Arab di fakulti kesusasteraan.

Antaranya kelas kendalian Dr Fadl Hasan Abbas, seorang pensyarah yang buta tetapi celik ilmunya dan pakar balagah dan tafsir. Isteri ke 3 beliau menjadi rakan sekelas saya ketika membuat master di jabatan bahasa Arab di univ Aal al-Bayt, mafraq.

Juga tidak ketinggalan kuliah guru kami Dr Solah al-Khalidi dengan pengajian kitab Nahu Matan Ajrumiyyah, Tafsir Ibnu Kathir dan kitab fiqh al-Muhazzab karya al-Syirazi. Kuliah tafsir Dr Solah Khalidi di peringkat master pada musim panas di univ of jordan juga tidak saya tinggalkan.

Saya sempat mengikuti kuliah Usul Hadis secara konsistant oleh Dr Tawalibah pada musim panas selepas beliau baru sahaja tamat pengajian Phd beliau di univ Zaitunah.

Di Irbid tempat saya menetap selepas berkahwin 1994-1999 walaupun terpaksa berulang-alik setiap hari Amman - Irbid selama 2 tahun kemudiannya Irbid ke Mafraq 1996-1999, saya sempat menghabiskan pembacaan kitab Subulusalam 3 juzuk drpd 4 juz dengan Penasihat Akademik Fakulti Syariah Univ Yarmouk di bilik beliau.

Saya juga membaca kitab Kifayatul Akhyar dengan Syeikh Muhammad, seorang Qadi di Irbid.

Juga membaca kitab Bidayatul Mujtahid wa Nohayatul Muqtasid yang membentuk kemahiran fiqh perbandingan berasaskan dalil secara bersendirian juga dengan Dr Abdul Sattar seorang tokoh ulamak daripada Iraq yang juga merupakan anak saudara Dr Sa'di, pakar dalil bahasa dalam pengajian fiqh perbandingan yang juga merupakan penyelia saya untuk tesis master.

Bersama beberapa rakan yg lain termasuk Dr Zahazan dengan perakuan Syeikh Dr Nuh Qudah mengambil inisiatif untuk berguru dengan Syeikh Abu Saami bekas Mufti Tentera membaca kitab Fiqh Matan Minhaaj.

Ketika percutian musim panas 1993 saya ke Dimasq selama 3 bulan. Sempat menghabiskan pembacaan kitab nahu Syuzuur Zahab karya Ibnu Hisyam secara bersendirian dengan Syeikh Rusydi. Juga kitab kecil Qawaid Fiqhiyyah dengan Syeikh Muhyiddin berhampiran Jami' Abu Nur.

Di Irbid juga secara konsistant selama lebih setahun mempelajari ilmu perubatan Islam berasaskan ayat-ayat al-Quran dengan Syeikh Abu 'Aayish al-Qur'ani di Tiibah.

Thursday, 6 August 2015

TAN SRI MAHYUDDIN; PERJUANGAN TUAN BARU SAJA BERMULA....

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

TAN SRI MAHYUDDIN; PERJUANGAN TUAN BARU SAJA BERMULA....

1. Penamatan perkhidmatan TS Ghani Patail sebagai Peguam Negara dengan alasan masalah kesihatan sekalipun dikatakan sah pada sudut undang-undang, ia tetap ‘politically unethical’ dalam keadaan beliau masih menganggotai jawatankuasa khas dan sedang menyiasat skandal 1MDB yang dikaitkan dengan YAB Perdana Menteri.

2. Tindakan menggugurkan TS Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri pula menandakan DS Najib Razak sudah tidak selesa sangat dengan tekanan yang diinisiatifkan secara terbuka oleh bekas timbalannya dan juga sudah dimulakan sebelumnya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

3. Bukan tidak tahan dengan ‘keterbukaan’ itu, tetapi kerana kerisauan yang amat sangat terhadap sesuatu yang akan menjejaskan kedudukan dan reputasinya sebagai Perdana Menteri bakal terdedah dan terbukti jika dibiarkan TS Muhyiddin Yassin terus bercakap dengan ‘locus standi’ sebagai Timbalan Perdana Menteri.

4. Rombakan kabinet dengan melantik tiga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) termasuk pengerusinya iaitu Datuk Nur Jazlan sebagai Timbalan Menteri turut membekukan peranan PAC buat masa ini yang juga sedang melakukan siasatan terhadap skandal 1MDB yang dikaitkan dengan DS Najib Razak.

5. Tentang skandal 1MDB ini, bukan sahaja TS Muhyiddin Yassin atau Tun Dr. Mahathir Mohamed sahaja yang ingin tahu. Seluruh rakyat juga mahu tahu mengenainya.

6. Soalnya, apa akan jadi kepada siasatan skandal 1MDB ini. Ia terhenti buat masa ini. Jika diteruskan selepas ini pun, adakah wujud ketelusan dalam penyiasatan tersebut dan adakah hasilnya itu berintegriti untuk diterima.

7. Apapun, kabinet baru telah dibentuk. Mereka berkewajipan menunaikan tanggungjawab menguruskan negara dengan penuh amanah dan ketelusan. Adapun PAS menegaskan bahawa selagi Akhirat tidak dijadikan landasan dalam pentadbiran negara ketelusan dan kebocoran akan terus berlaku.

8. Saya sempat hadir bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediaman beliau pagi tadi dan menyampaikan sendiri ucapan takziah atas pemecatan beliau. Jika teguran beliau dalam isu 1MDB menjadi sebab untuk beliau diberhentikan maka perjuangan itu sepatutnya tidak berakhir dengan pemecatan tetapi ia bererti perjuangan baru bermula.

9. Tan Sri dijemput untuk bersama rakyat Malaysia menunaikan kewajipan menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar khususnya dalam arena politik negara. PRU ke 14 mengajak rakyat berganding bahu untuk Malaysia Baru.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Rabu, 29 Jul 2015 | 13 Syawal 1436 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

Sunday, 2 August 2015

Renungan Pagi; IKHLAS

RENUNGAN PAGI

IKHLAS ertinya membersihkan sesuatu daripada sebarang campuran. Ia suatu yang sangat halus tempatnya di hati. Ia bermaksud tulus dan suci dalam melakukan sesuatu semata-mata mengharapkan redha Allah. Bukan manusia menjadi tempat pergantungan harapan dan tujuan. Malah tidak mengharapkan pujian manusia mahupun balasan ucapan terima kasih apatah juga ganjaran kebendaan. Barangkali bukan hanya masa yang dikorbankan namun juga tenaga dan harta. Hanya Allah jua yang membalas dengan yang terbaik.

إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنْكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا
"Kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah. Kami tidak mahukan daripada kamu sebarang balasan malah ucapan terima kasih".(Surah al-Insan: 9)

Berkata Mujahid dan Sa'id bin Jubair; maksudnya mereka tidak berbicara kepada manusia tentangnya tetapi Allah mengetahui apa di dalam hati mereka lalu Allah memuji mereka.

Moga Allah kurniakan kepada kita semua keikhlasan dan ketulusan.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Majlis Syura Ulamak

Ahad 17 Syawal 1436 / 2.8.2015
Bintulu, Sarawak