Tuesday 11 September 2018

PENEGAKAN SYARIAT MANIFESTASI PENGHAYATAN SEBENAR HIJRAH

Perutusan Khas Hijratul Rasul

Selasa 11 September 2018 | 1 Muharram 1440H

PENEGAKAN SYARIAT MANIFESTASI PENGHAYATAN SEBENAR HIJRAH

1. Sememangnya banyak sekali _ibrah_ pengajaran yang boleh dikutip daripada peristiwa hijrah Nabi s.a.w. bersama para sahabat Baginda dari Mekah ke Madinah.

2. Pun begitu, perkara terpenting yang perlu difahami daripadanya ialah tujuan hijrah itu sendiri sehingga ia diperintahkan oleh Allah s.w.t.; bukannya semata-mata strategi yang dipilih oleh Baginda. Ia bertujuan membina sebuah pemerintahan di atas asas Islam yang memberi keadilan dan kebajikan pada manusia sejagat dan membina kekuasaan Islam yang akan melindungi dakwah Islam.

3. Rasulullah s.a.w. yang memimpin pemerintahan yang dibentuk menerusi misi hijrah ini melaksanakan Islam dalam semua aspek pemerintahan Baginda sama ada di bidang ekonomi, sosial atau perundangan sebagai menterjemahkan syariat Allah s.w.t. dalam kehidupan manusia supaya sifat _'rahmatan lil 'alamin'_(rahmat sejagat) yang ada pada Islam itu dapat dirasai oleh manusia.

4. Justeru, tidak hairanlah sehinggakan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Madinah pada masa itu boleh hidup bersatu-padu serta makmur ekonomi dan  kemasyarakatannya di bawah dasar pemerintahan dan kepimpinan orang Islam.

5. Hari ini, sifat _'rahmatan lil 'alamin'_ Islam ini kononnya mahu direalisasikan tetapi tanpa pelaksanaan syariat. Inilah yang dikatakan sebagai "Islam tanpa Syariat". Ia bercanggah sekali dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. menerusi peristiwa hijrah.

6. Maka, tidak hairan jugalah, Islam dicemuh sesuka hati sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh orang dan pihak tertentu. Malah dengan iman yang lemah mencari alasan dan dalih menjustifikasikan tindakan yang bercanggah dengan Islam.

7. Sempena sambutan Hijratul Rasul 1440 H ini, saya menyeru kepada semua supaya bersama-sama mengusahakan pelaksanaan Islam di negara ini secara lengkap dengan rujukan yang benar iaitu al-Quran dan al-Hadis bukannya dengan pemikiran manusia semata-mata yang dipakaikan jenama Islam.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1440.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

Post a Comment