Monday 9 April 2018

*MANIFESTO BN; APA YANG HILANG?*

*MANIFESTO BN; APA YANG HILANG?*

Oleh :
*Dato' Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri*
_AJK Kerja PAS Pusat_

1. BN baru sahaja melancarkan manifesto kelmarin. Pelbagai janji yang dihidangkan kepada rakyat melibatkan beberapa segmen adalah perkara biasa yang mampu dilaksanakan oleh sebuah kerajaan sekiranya pengurusan kewangan dilakukan secara berhemah tanpa sebarang ketirisan.

2. Pada masa rakyat sedang berhadapan dengan peningkatan kos hidup yang mencengkam kewangan mereka tentulah besar harapan rakyat agar kerajaan pasca PRU ke-14 mampu menyelesaikan sebahagian masalah ekonomi yang dihadapi mereka.

3. Namun, apa yang perlu disedari oleh rakyat ialah kemelut ekonomi memuncak apabila percukaian GST diperkenalkan. Usaha menambah nilai pendapatan boleh guna akan kehilangan impaknya selagi percukaian tersebut diteruskan.

4. Menyedari hakikat itulah tawaran awal PAS ialah menghapuskan percukaian GST. Bagi meningkatkan pendapatan maka alternatif pada percukaian GST ialah cukai bermodelkan sistem zakat Islam yang dikenakan kepada golongan kaya iaitu cukai pegangan saham di Bursa Malaysia dan cukai simpanan korporat yang kedua-duanya mampu menambah pendapatan negara sekitar RM60 bilion, jauh melepasi pendapatan GST yang hanya RM44 bilion pada 2017. Namun, manifesto BN gagal membuat tawaran penghapusan GST sebagaimana harapan rakyat.

5. Segala perancngan yang baik juga asasnya ialah tadbir urus yang baik (good governance). BN sekali lagi menjanjikan tadbir urus yang baik di saat mereka tercalar dengan pelbagai isu ketirisan.

6. Namun, PAS bergerak selangkah ke hadapan dengan menawarkan Tadbir Urus Rabbani yang mengikat para pentadbir sebagai hamba kepada Tuhan yang meletakkan pertimbangan dosa dan pahala, syurga dan neraka serta pemantauan Malaikat yang mencatat perlakuan baik dan jahat.

7. Tadbir Urus Rabbani telah menunjukkan kejayaannya dalam pentadbiran PAS di Kelantan sehingga diiktiraf sebagai kerajaan bebas rasuah dan ketirisan serta mempunyai akauntabiliti.

8. BN juga menawarkan kesinambungan projek kediaman mampu milik yang telah dibuat oleh kerajaan sekarang dan menawarkan penubuhan bank khusus untuk pembiayaan kediaman. Namun, PAS lebih kehadapan menawarkan peluang pembiayaan kediaman mampu milik antara RM50k sehingga RM180k menerusi Qard al-Hasan, iaitu pinjaman tanpa faedah bagi B40.

9. Malah, PAS juga menawarkan usahasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membuka rancangan-rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda. Ia ke arah pemilikan lot dan rumah kediaman mampu milik di samping membuka peluang baru pekerjaan.

10. Manifesto BN tidak menyentuh tawaran melibatkan pemilikan kenderaan rakyat B40. Ia barangkali kerana BN telah gagal menunaikan janji manifesto 2013 bagi menurunkan harga kereta sehingga 30%. Berbeza dengan PAS yang membuat tawaran khusus bagi pembelian kenderaan 1.3 cc ke bawah untuk kali pertama bagi golongan B40 dengan pengecualian duti eksais di samping kaedah pembiayaan Qard al-Hasan iaitu pinjaman tanpa faedah.

11. Antara tawaran BN ialah pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah serta pemerkasaan Mahkamah Syariah. Namun, PAS bergerak ke hadapan secara lebih komprehensif bagi menegaskan dasar bernegara iaitu Islam sebagai ad-Din yang perlu diperkasakan dalam peruntukan perlembagaan. Ia bukan hanya merangkumi undang-undang dan mahkamah tetapi merangkumi segala aspek polisi bernegara yang mesti selaras dengan Islam.

12. Namun, apa yang membimbangkan ialah tawaran BN bagi memperluaskan program dwi-bahasa yang mengancam usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Ia berbeza dengan PAS yang membuat tawaran bagi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.

13. Setelah meneliti manifesto BN, saya sangat yakin bahawa apa yang ditawarkan oleh PAS dan Gagasan Sejahtera jauh lebih menyeluruh pada gagasan bernegaranya. Manifesto GAGASAN seterusnya melibatkan segmen anak muda, wanita, petani dan lain-lain akan menyusul insyaAllah terdekat sebelum penamaan calon PRU ke-14.

Sekian.

Isnin, 9 April 2018

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1939493262727361&id=569086473101387

No comments:

Post a Comment