Saturday, 6 February 2016

Parlimen Perlukan Anjakan

KENYATAAN MEDIA
Ahli Parlimen Kuala Nerus

6 Februari 2016 | 27 Rabi’ul Akhir 1437 H

PARLIMEN PERLUKAN ANJAKAN

1. Seruan dan cadangan reformasi Parlimen seperti yang dibentangkan oleh Dr. Haidar Dziauddin, Dekan Fakulti Undang-undang UiTM berdasarkan kertas kerja bertajuk “Building Trust in Legislatures: A Case Study of Malaysia” yang ditulis oleh Dr. Shad Saleem Faruqi semasa ‘23rd Conference of Speakers and Presiding Officers of the Commonwealth (CSPOC)’ lalu adalah sangat penting bagi memastikan badan perundangan (legislature) di negara ini dapat menjalankan bidang tugasnya dengan berkesan dan secara bebas.

2. Isu paling utama yang perlukan reformasi segera ialah prosedur meluluskan sesuatu Rang Undang-undang (RUU) sehingga ia menjadi Akta; bermula dengan proses penggubalan sehinggalah kepada proses pengundian.

3. Sekalipun pada ketika ini RUU tidak disediakan sepenuhnya oleh Parlimen kerana dibuat oleh Kabinet atau Kementerian tertentu dengan bantuan Pejabat Peguam Negara, sepatutnya dijadikan satu peraturan wajib sebarang RUU diserahkan kepada Ahli-ahli Parlimen untuk tempoh yang cukup untuk dikaji.

4. Kontroversi Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara yang hanya diserahkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat tidak sampai 24 jam sebelum dibahas pada Disember 2015 lalu tidak sewajarnya berulang. Ia menggambarkan kerajaan begitu gelojoh dan terdesak meluluskan RUU yang penting melibatkan rakyat.

5. Malah ia juga wajar didedahkan kepada awam sebelum dibahaskan supaya rakyat juga diberi hak untuk bersuara dan memberikan pandangan bagi membantu ahli Parlimen menyuarakan pandangan rakyat di Parlimen.


6. RUU yang diluluskan tidak cukup dianggap sah hanya kerana ia diluluskan oleh badan perundangan yang betul dan menurut bidang kuasanya sahaja. Tetapi, kewajaran dan aspek keadilan pada undang-undang itu sendiri mestilah dipastikan wujud terlebih dahulu agar undang-undang tersebut benar-benar bermanfaat kepada negara dan rakyat. Ini berhajat kepada perbahasan yang berkualiti oleh Ahli-ahli Parlimen menerusi kajian mendalam dan persiapan awal yang dibuat. Sekiranya tidak, RUU tersebut hanya diluluskan berdasarkan aspek “positif” yang telah diperkirakan oleh sebelah pihak sahaja iaitu Kerajaan.

7. Dalam konteks pengundian pula, suatu mekanisme khusus mesti diwujudkan supaya bantahan atau kritikan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dapat memberi kesan dan merit yang signifikan kepada RUU yang hendak diluluskan itu di samping memberi hak kepada ahli parlimen penyokong kerajaan untuk membuat keputusan berbeza daripada kerajaan sekiranya diperlukan.

8. Jika tidak, selama-lamanya ia akan berpihak kepada Kerajaan kerana menguasai majoriti kerusi di Parlimen sekalipun hanya dengan perbezaan satu kerusi. Ini menjadikan Parlimen sebagai ‘rubber stamp’ kepada kehendak Kerajaan dan menyebabkan kewujudan badan itu sebagai sia-sia atau membelakangkan tujuan kewujudannya.

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP). Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

1 comment: